Hi dan As Salam

Cuti yang lepas, kami telah menjelajahi sehari di Pulau Pangkor.
Dari KL kami meneruskan perjalanan menggunakan highway
PLUS dan memasuki tol Simpang Pulai dengan kadar RM 22.50.
Esoknya, dari Simpang Pulai kami meneruskan perjalanan ke daerah Lumut.
(kami tidur sehari di Simpang Pulai - Lost of Tambun, lain entry yea)

Setibanya kami di Lumut, kami terus meletakkan kenderaan
di parking Jeti Lumut. Dekat parking Jeti Lumut ini, anda
boleh memilih untuk parking berbumbung atau parking luar.
Harga bayaran parking sangat murah iaitu RM 0.40 sejam.
Berbaloi kan. Taklah risau nak parking lama - lama.

Selepas parking, kami berjalan kaki ke arah jeti yang bersebelahan
dengan tempat parking tersebut. Kami membeli tiket pergi balik
yang berharga RM 10.00. Feri terakhir sekiranya ingin keluar
dari Pulau Pangkor adalah pukul 8.30 malam. Kami bertolak pada pukul 
12.30 tengahari. Perjalanan mengambil masa selama 40 minit.


Feri akan berhenti 2 kali, jika anda seorang pelancong, turun
semasa feri berhenti di Jeti Pulau Pangkor yang kedua. Jangan risau
tentang pengangkutan, ada van teksi pink, motor sewa dan kereta sewa.
Surau dan masjid berdekatan dengan Jeti Pulau Pangkor memudahkan
urusan sekiranya anda ingin menunaikan solat dan sebagainya.

Seterusnya kami menaiki van teksi pink dimana bayarannya adalah
RM 20.00 sehala untuk satu van. Satu van pula muat untuk 8-9 orang.
Kami menuju ke Teluk Nipah di mana kawasan ini merupakan kawasan
yang banyak menyediakan aktiviti berkaitan dengan air dan laut.


Di Teluk Nipah, ada pelbagai kiosk kecil yang menawarkan pelbagai
aktiviti air. Anda kena pandai tawar-menawar. Biasanya bila cuti
sekolah ni, harganya mahal sedikit. Misalnya, pakej snorkeling
yang saya ambil berharga RM 15.00 seorang. (kebiasaanya RM 10.00).
Untuk sukan air seperti paparazzi, banana boat dll berharga RM 20.00 seorang.
Untuk jet-ski RM 75.00 seorang untuk 1 jam. Kayak RM 10.00 seorang
untuk 1 jam. Untuk pakej snorkeling, ia merangkumi lawatan sekitar
pulau - pulau kecil, pantai - pantai sebelum dibawa ke kawasan snorkeling.
Anda boleh berhenti untuk bermandi manda di kawasan Pulau Coral.
Life jacket dan peralatan snorkeling pun termasuk dalam harga tersebut.

* amaran : snorkeling di Pulau Giam (Pulau Pangkor) adalah sedikit 
berbahaya kerana kaki mudah tercedera kerana sisik - sisik dekat
batu bata yang tajam. Saya turun pun berpaut pada suami. Tak jejak bawah.

Pada waktu petang sekitar pukul 5 petang, kawasan Teluk Nipah
sangat meriah dengan aktiviti seakan pasar malam. Pelbagai barangan
cenderamata dengan harga yang murah dan berbaloi.


Dikatakan pada bulan Februari, kita boleh berjalan kaki dari kawasan
pulau Coral ini menuju ke kawasan pantai di hadapan pulau tersebut
seperti dalam gambar di bawah ( pantai belakang kami). SubhanAllah !




Alhamdullilah, kami enjoy di sini. Namun, air laut Pulau Pangkor
bagi saya tidak best kerana terasa gatal - gatal. Mungkin masa kami datang tu
airnya begitu. Apapun ,  seronok menaiki bot laju dan aktiviti sukan air.
Sangat seronok di sini, namun dari segi snorkeling tidak begitu menarik
terutama dengan sisik - sisik tajam tu. Mudah terluka.

Selesai sahaja waktu Maghrib, kami menaiki feri dari Jeti Pulau 
Pangkor menuju ke Jeti Lumut. Kami bermalam di Lumut
semalam dan keesokannya kami singgah sebentar di Teluk Batik
sebelum bertolak pulang ke kampung halaman.

Sememangnya kenangan indah telah tersemat di sini. Percutian
di Pulau Pangkor adalah berbaloi kerana harganya yang tidak
mahal dan masih dalam percutian bajet kami. Kenangan 
yang tidak akan dilupakan dalam ingatan. In Shaa Allah.